Fenomena ribut solar dijangka tiba tengah malam nanti

0
2951
GAMBAR HIASAN

LONDON – Satu fenomena ribut solar yang berpotensi menyebabkan masalah-masalah utama kepada grid elektrik dijangka melanda Bumi hari ini .

Menurut Pejabat Meteorologi Britain dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara Amerika Syarikat (NOAA), fenomena tersebut diramal tiba ke Bumi sekitar pukul 12 tengah malam ini.

“Ia diramal akan menyebabkan kejadian ribut geomagnetik yang kecil dan sederhana.

“Ribut kecil berkemungkinan berterusan hingga 12 Oktober (waktu tempatan) sebelum angin pantas dari lubang korona tiba dan mungkin meneruskan aktiviti geomagnetik yang agak aktif,” kata kenyataan itu lagi.

Ribut solar berlaku disebabkan oleh fenomena suar Matahari yang digelar Lontaran Massa Korona (CME).

Ia merupakan satu pengusiran plasma besar dari lapisan luar Matahari yang dikenali sebagai korona.

Suar Matahari tersebut boleh memberi kesan kepada sistem komunikasi dengan mengganggu signal radio.

Bagaimanapun, medan magnetik Bumi dapat membantu melindungi manusia daripada kesan-kesan lebih ekstrem yang disebabkan oleh fenomena tersebut.

Sementara itu, Pejabat Meteorologi Britain turut mengeluarkan nasihat kepada orang ramai supaya tidak panik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here