Guru dalam perjalanan ke sekolah maut dirempuh lori

0
809
Keadaan kereta mangsa yang dirempuh oleh sebuah lori

ALOR GAJAH – Seorang guru wanita maut apabila kereta dipandunya terbabit dalam satu kemalangan ngeri dengan sebuah lori di simpang tiga Alor Gajah Lama, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, [email protected] Sakura Muhammad Perang, 54, dalam perjalanan untuk bertugas di sebuah sekolah menengah di Durian Tunggal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa yang cedera di bahagian kepala kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, beliau berkata, lori dipandu lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah Krubong ke Nyalas, Jasin, manakala mangsa dari Taman Nuri ke Durian Tunggal.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah simpang cuba membelok ke kanan.

“Lori tanpa muatan itu yang kebetulan melalui lokasi kejadian, dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kenderaan mangsa,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, akibat rempuhan itu kereta mangsa terseret sejauh lebih enam meter.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Alor Gajah, untuk bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian dibawa balik ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke PUSPAKOM bagi tindakan lanjut,” katanya.

Hasan Basri berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here