Hujan, ribut petir diramal landa beberapa negeri bermula hari ini

0
85
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda beberapa negeri bermula hari ini sehingga 29 Oktober.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Bagi negeri lain, katanya, kawasan berkenaan dijangka tiada hujan atau mengalami cuaca mendung.

“Keadaan cuaca di Semenanjung Malaysia masih lembap pada sebelah petang ke lewat malam dan dijangka mula berkurangan pada 25 Oktober, terutamanya di pantai barat Semenanjung Malaysia (cuaca bertumpu di pedalaman Semenanjung Malaysia).

“Manakala keadaan cuaca di Sabah dan Sarawak kekal lembap dalam tempoh ramalan. Hujan juga diramal berlaku di berapa tempat di Labuan,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Muhammad Helmi berkata, MetMalaysia juga bertindak mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan pada peringkat waspada untuk Sabah yang berkuatkuasa sehingga hari ini.

Jelasnya, sistem tekanan rendah yang wujud di perairan Sulu mempengaruhi corak tiupan angin dan cuaca di Sabah.

Berdasarkan kriteria amaran hujan lebat yang dipaparkan di laman web MetMalaysia, peringkat waspada berwarna kuning merujuk hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi.

Ia juga merujuk kepada hujan berterusan atau ribut petir sedang berlaku tetapi belum mencapai peringkat amaran buruk.

MetMalaysia turut memuat-naik langkah-langkah keselamatan untuk rujukan orang ramai bagi mengelak ditimpa kejadian buruk ketika fenomena ribut petir menerusi akaun Facebook jabatan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here