ICFL mula atur langkah bentuk pasukan lebih mantap

0
138
Datuk Kamil Mokhtar (berdiri tujuh dari kiri) bersama pemain semasa sesi pemilihan di Kepong hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 orang pemain bawah 14 tahun terpilih untuk menyertai pasukan Inter Club Football League (ICFL) Armada FC dalam sesi pemilihan terbuka hari ini.

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, sesi pemilihan di Padang Bola Sepak Jinjang di Kepong itu disertai kira-kira lebih 100 pemain bawah 14 tahun dari sekitar Lembah Kelang.

“Dalam sesi pemilihan ini, hanya 25 pemain sahaja terpilih untuk mewakili ICFL Armada FC dalam pertandingan selepas sektor sukan kembali rancak dianjurkan pada pasca Covid-19.

“Terima kasih diucapkan kepada semua pemain yang sanggup turun padang dan datang dari jauh semata-mata untuk menyertai sesi pemilihan kali ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Kamil, pemilihan pemain ICFL Armada FC dibuat sebagai persediaan untuk penganjuran Piala Super ICFL yang jadualkan berlangsung pada September tahun hadapan.

“Insya-Allah pada September tahun hadapan, Piala Super ICFL kembali dianjurkan untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat pemain bola sepak bawah 14 tahun di negara ini.

“Seperti kebiasaannya, untuk menyertai Piala Super ICFL ini akan ada pusingan kelayakan mengikut zon seperti mana penganjuran pada edisi terdahulu,” katanya.

Kamil memberikan kata-kata semangat kepada pemain yang hadir sesi pemilihan.

Menurut Kamil, maklumat lanjut mengenai penganjuran Piala Super ICFL dan juga pusingan kelayakan di setiap zon akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

“Piala Super ICFL sememang kita anjurkan sebagai acara tahunan tetapi, sejak tahun lalu kita tidak dapat anjurkan ekoran pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya.

Sementara itu, untuk format baharu Piala Super ICFL pada tahun hadapan, Kamil berkata, pihaknya akan membenarkan setiap pasukan mendaftarkan tiga pemain berumur 16 tahun.

“Kita akan benarkan pasukan buat campuran umur, setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar tiga pemain berumur 16 tahun. Kita mahu mereka main bersama-sama, maknanya pemain bawah 14 nanti dapat dibimbing pemain lebih senior.

“Dengan syarat baharu ini, saya percaya pusingan kelayakan yang dijangka berlangsung pada Mac tahun hadapan dan juga Piala Super ICFL pada September akan berlangsung dengan lebih meriah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamil berkata, pihaknya juga tidak mengenepikan bakat-bakat pemain yang telah melebihi had umur apabila pihaknya menubuhkan pasukan DK Armada FC.

“Sesi pemilihan DK Armada FC ini telah dilakukan semalam dan 30 pemain telah terpilih untuk menyertai pasukan yang akan menyertai Liga Perdana Selangor 2021.

Sesi pemilihan pemain DK Armada FC

“Sesi pemilihan semalam diadakan di Padang Bola Sepak Flat Sri Melaka. Alhamdulillah, sesi pemilihan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan,” katanya.

Sementara itu, Kamil berharap pasukan DK Armada FC yang dibimbing jurulatih, Amir Mohd Nasir mampu memberi saingan kepada pasukan sedia ada di Liga Perdana Selangor.

Dalam pada itu katanya, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pemain berpengalaman untuk menyertai DK Armada FC dan mereka yang berminat boleh menghubungi 017-3387789 (Coach Amir).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here