Institusi pendidikan lengkap 90 peratus vaksinasi dibuka tanpa penggiliran 8 November ini

0
160
Gambar arkeb foto/Farid Janudin

CYBERJAYA – Bermula 8 November ini, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambilkira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya) akan bermula pada 8 November 2021.

“Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa adalah melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Selain itu, katanya, ia turut melibatkan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Sementara itu, katanya, bagi institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap pengoperasian kekal secara penggiliran.

Bagaimanapun katanya, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE OLevel, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir
tanpa penggiliran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here