
KOTA BHARU – Johan Qari Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah menghembuskan nafas yang terakhir hari ini akibat sesak nafas.
Allahyarham, 39, meninggal dunia pada pukul 1.25 tengah hari tadi di Machang.
Berita sedih itu turut dikongsi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi laman Facebook miliknya.
“Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali kerahmatullah tengahari tadi.
“Allahyarham merupakan Johan Qari Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58 pada 2016. Pada tahun 2018, kerajaan negeri telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham diatas kejayaan, jasa dan sumbangan dalam usaha memartabat Al-Quran.
“Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah akan disolatkan di Masjid Muhammadi Kota Bharu dan akan dikebumikan di Kampung Banggol.
Allahyarham yang merupakan Qari Tilawah al-Quran kelahiran Kelantan pernah mewakili Malaysia di peringkat Antarabangsa.
Selain itu, Allahyarham juga sering muncul di kaca televisyen dan aktif dalam mengajar al-Quran menerusi rancangan Mari Bertartil Bersama USWAH yang disiarkan menerusi laman Facebook dan YouTube miliknya.-MT