Jualan kenderaan Perodua menyusut 17.87 peratus berbanding tahun lepas

0
29

CYBERJAYA – Jualan kenderaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) antara Januari dan September 2021 menyusut 17.87 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2020.

Menurut Bernama, sebagai perbandingan, sebanyak 119,093 kenderaan berjaya dijual dalam tempoh itu tahun ini, berbanding 145,012 bagi tahun lepas.

Bagi perbandingan suku kedua tahun ini dengan suku ketiga pula, penjualan merosot sebanyak 44.6 peratus kepada 21,803 unit antara bulan Julai dan September daripada 39,381 kenderaan yang didaftarkan antara April dan Jun tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, suku keempat tahun 2021 memberikan ramalan yang lebih baik berbanding dua suku sebelumnya, terutama sekali peningkatan ketara dalam pengurangan kes Covid-19 di seluruh negara serta kadar vaksinasi yang menghampiri 90 peratus populasi orang dewasa Malaysia.

Penghantaran kenderaan Perodua terus bertambah baik untuk tiga bulan berturut-turut dengan sebanyak 102 peratus kepada 14,160 unit pada bulan September daripada 6,988 unit pada bulan Ogos apabila situasi bekalan bertambah baik secara beransur-ansur, jelas syarikat itu.

“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan tetapi masih belum mencapai potensi yang sepenuhnya.

“Kami akan terus berusaha bersama-sama para pembekal dan pengedar kami untuk meningkatkan keselamatan dan produktiviti,” tambah Zainal dalam kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here