Kanak-kanak 5 hingga 12 tahun akan terima vaksin Covid-19

0
58
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kerajaan bakal memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun pada masa akan datang.

Perkara itu dibayangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi satu ciapannya, semalam.

Dalam ciapan itu, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan meneruskan pemerolehan vaksin Pfizer-BioNTech untuk golongan itu.

Beliau menambah, pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan dalam program pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bilakah pemberian vaksin itu akan mula diberikan kepada kanak-kanak.

“82.4 peratus daripada remaja (12-17 tahun) telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 62 peratus telah lengkap dua dos.

“Ini bermakna pembukaan semula sekolah dengan selamat.

“Dengan Panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin Pfizer untuk 5 hingga 12 tahun, Malaysia juga akan meneruskan pemerolehan Pfizer untuk kanak-kanak,” katanya.

Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dengan menyatakan manfaat suntikan itu melebihi risikonya.

Malaysia telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.

Setakat semalam, remaja yang telah melengkapkan vaksin mencecah 62 peratus atau 1,951,450 daripada populasi tersebut, manakala seramai 82.4 peratus atau 2,592,048 telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here