Kapasiti harian jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000

0
31
Pemandangan dari udara suasana Masjidilharam pada waktu malam.

CYBERJAYA- Bermula hari ini, kapasiti harian jemaah umrah dinaikkan 100,000 orang dan bilangan jemaah untuk solat fardhu juga dinaikkan kepada 60,000.

Perkara berkenaan dimaklumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi laman Twitternya hari ini.

Menurut kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada awal September lalu mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

“Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here