Kem tentera di Sabah ditambah baik

0
67
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

TAWAU – Semua kem tentera di Sabah akan ditambah baik menerusi pembinaan infrastruktur baharu dan menaik taraf infrastruktur sedia ada bagi memperkasa keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan dan kebajikan anggotanya.

Menurut Bernama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, antara projek tersebut ialah pembinaan rumah keluarga ATM di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu; Kem Paradise, Kota Belud; dan Kem Kabota, Tawau.

Selain itu, kata beliau lagi, bagi memperkasa operasi kawalan sempadan di Sabah, dua pos kawalan akan turut dibina di Kalabakan dan Pensiangan yang dijangka siap pembinaannya pada 19 Mac tahun depan.

“Ia selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 September lepas,” katanya selepas melancarkan pengoperasian Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan buku Op Daulat di Kem Kukusan, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Batalion ke-26 RAMD yang mempunyai kekuatan 19 pegawai dan 477 anggota lain-lain pangkat akan diperkasakan dengan penambahan anggota serta peningkatan aset tempur sebagai sebuah pasukan infantri yang lengkap.

“Mengikut perancangan, batalion itu akan dipindahkan ke Kem Desa Kencana, Lahad Datu, sebaik kem baharu di sana siap sepenuhnya,” katanya.

Zamrose berkata, batalion itu ditubuhkan pada 3 Mac 1980 sebelum dibubarkan pada 1 November 1994, dan kemudiannya ditubuhkan semula pada 26 Mei 2014 dan ditempatkan di Kem Kukusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here