Keperluan ‘industri’ rokok murah di negara ini sedang dikaji

0
87

CYBERJAYA – Kerajaan sedang memperincikan keperluan untuk membenarkan industri perkilangan dan pengeluaran rokok berharga murah dijalankan di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata,
Kementerian Kewangan (MOF) sedang menilai keperluan industri itu dan bentuk pendapatan yang boleh dijana melalui percukaian selain isu berkaitan kesihatan.

“Perkara ini dalam makluman MOF. Ini satu perkara kerajaan sedang perincikan apakah kaedah yang terbaik untuk kita lakukan supaya dapat mengurangkan perkara atau aktiviti tidak dibenarkan kerajaan.

“Kita mengambil pandangan semua, supaya dengan apa saja yang kita lakukan, ia akan sedikit sebanyak boleh menambah hasil negara,” katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Senator Datuk Othman Aziz meminta MOF memperincikan cadangan supaya pengilangan rokok murah dibuat di Malaysia bagi mengatasi masalah penyeludupan, yang menjadi penyumbang kepada ketirisan ekonomi negara.

“Kenapa kerajaan tidak boleh benarkan rokok jenama murah ini dikilang dan dipasarkan di negara ini, sedangkan jenama (lain) yang dimasukkan ke negara ini dari negara luar dan (penyeludupan rokok murah) ini kita tidak dapat cukai,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, kerajaan masih dalam peringkat kajian untuk mengawal selia rokok elektronik dan vape secara menyeluruh termasuk melalui medium percukaian.

“Kajian terperinci ini meliputi aspek kawal selia, standard keselamatan, kualiti produk dan penguatkuasaan larangan penjualan serta penggunaannya terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau remaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here