Kerajaan digesa tambah Bantuan Khas Covid-19 bantu golongan miskin bandar

0
84

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menaikkan jumlah Bantuan Khas Covid-19 bagi membantu meringankan beban rakyat khususnya penduduk miskin di kawasan bandar yang terkesan akibat Covid-19.

Senator Datuk Hisamudin Yahaya (Putrajaya dan Wilayah Persekutuan) berkata, langkah itu perlu memandangkan bantuan sebanyak RM1,300 jauh lebih rendah dengan pendapatan garis kemiskinan purata negara yang berjumlah RM2,208 sebulan.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila tempoh moratorium akan tamat pada Januari tahun hadapan, yang akan menyebabkan cabaran sebenar dihadapi sebahagian besar rakyat negara ini.

“Golongan miskin bandar di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah dilihat antara yang menderita teruk dalam pertarungan Covid-19 ini.

“Mereka bukan saja berdepan dengan masalah pendapatan dan simpanan, malah turut hilang kemampuan untuk membeli keperluan asas.

“Tambahan pula, nyawa mereka terancam disebabkan keadaan perumahan yang tidak kondusif meningkatkan risiko jangkitan Covid-19. Risiko jangkitan amat tinggi di antara ahli isi rumah disebabkan keadaan sempit di PPR kerana setiap unit PPR di Kuala Lumpur biasanya hanya berkeluasan 650 kaki persegi,” katanya dalam Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kerajaan memperkenalkan semula pengecualian sewa PPR selama enam bulan di kawasan bandar.

Katanya, dengan kehilangan sumber pendapatan dan wang simpanan yang berkurangan, setiap ringgit amat penting untuk golongan miskin bandar supaya mereka mampu membeli keperluan asas seperti makanan.

Mengulas lanjut, katanya, tempoh pengecualian sewa yang lebih lama juga akan membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

“Saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap isu yang saya bangkitkan ini.

“Ingatlah majoriti penghuni PPR tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

“Mereka hanya peniaga-peniaga di jalanan. Hakikat yang kita harus terima bahawa gejala miskin-bandar ini lebih sukar hidupnya daripada kemiskinan di pinggir bandar,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here