Kerajaan disaran kenakan cukai terhadap cecair vape bernikotin

0
29

Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan untuk menaikkan cukai vape bagi menambah hasil pendapatan negara yang berkurangan ketika ini kesan daripada pandemik Covid-19.

Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, ini kerana pada masa kini, kadar cukai vape yang dikenakan sangat rendah iaitu hanya 40 sen bagi setiap mililiter (ml).

“Dijangkakan beberapa tahun lagi, sumbangan industri vape ini akan mencecah RM10 bilion. Selain itu, kerajaan juga perlu mengenakan cukai kepada cecair vape bernikotin untuk memaksimumkan hasil kutipan cukai terhadap industri vape.

“Menurut laporan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, menyatakan bahawa kutipan eksais cecair vape berjumlah RM100,000 pada suku tahun ini, ia jauh lebih rendah berbanding dengan anggaran industri sebanyak RM300 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kutipan yang rendah itu adalah disebabkan oleh pelaksanaan eksais rokok elektrik hanya kepada cecair tanpa nikotin, yang mewakili tiga peratus dari keseluruhan pasaran.

Katanya, baki selebihnya cecair vape bernikotin kini tidak dikawal selia dan tidak dikenakan cukai.

“Jika kerajaan mengenakan cukai kepada cecair bernikotin ini, saya percaya ia adalah satu sumber baru ekonomi negara. Saya mohon kerajaan mengambil kira cadangan saya ini sebagai usaha untuk menambah dan melipatgandakan sumber pendapatan negara pasca pandemik,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 12 Oktober lalu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Levi Keuntungan Luar Biasa dengan mengenakan cukai durian runtuh (windfall tax) kepada industri sarung tangan getah.

Katanya, dengan anggaran manfaat sekitar RM4.8 bilion, ia sudah akan dapat membantu pakej-pakej rangsangan kerajaan untuk membela nasib rakyat di peringkat akar umbi.

“Pada ketika itu, permintaan paling tinggi ialah untuk sarung tangan nitril meningkat sebanyak 31 peratus dan sarung tangan getah meningkat sebanyak tujuh peratus. Permintaan sangat tinggi, erutamanya di Asia meningkat sebanyak 110 peratus, Eropah Barat meningkat sebanyak 73 peratus, dan Eropah Timur yang meningkat sebanyak 64 peratus.

“Mereka telah memperolehi keuntungan yang berlipat ganda, namun masih membayar cukai pada kadar yang sama, iaitu 24 peratus. Untuk makluman, waktu darurat seperti ini kerajaan memerlukan sumber
dana yang banyak untuk dibelanjakan dalam pelan-pelan khusus yang diumumkan kerajaan terhadap golongan B40.

“Jika kita masih mengikut sistem percukaian yang biasa, dengan aktiviti ekonomi yang terhad, maka kerajaan akan mendapat hasil cukai yang terhad juga. Kerajaan perlu mengimbangi kesan pandemik ini supaya syarikatsyarikat yang meraih keuntungan besar, dapat membantu golongan rakyat yang terjejas,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here