Kerajaan jamin tiada ‘double standard’ SOP pada PRN Melaka

0
6
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

CYBERJAYA – Kerajaan akan memastikan tiada amalan ‘double standard’ dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguatkuasaan SOP akan dilaksanakan mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak akan mengguna pakai SOP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Perkara ini akan saya bangkitkan dalam kabinet akan datang. Semua (menteri) diminta jangan guna SOP MKN dan Kementerian dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Guna SOP yang dilaksanakan oleh pihak SPR,”katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PH – Kulim Bandar Baharu) berhubung pelaksanaan SOP semasa PRN Melaka.

Saifuddin juga meminta kerajaan memberi jaminan untuk tidak mengamalkan ‘double standard’ berhubung pelaksanaannya dalam majlis anjuran kerajaan dan pembangkang.

Menurut Wan Junaidi, beliau bimbang berlakunya amalan itu memandangkan Melaka telah beralih ke Fasa 4 PPN yang membenarkan penganjuran majlis rasmi kerajaan, sedangkan SOP SPR tidak membenarkan aktiviti ceramah, walkabout dan kunjungan dari rumah ke rumah.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, larangan yang akan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, setakat ini kerajaan tidak dapat memberi jaminan mengenai pematuhan SOP dalam aktiviti yang dianjurkan oleh aktivis politik.

“Setakat ini saya tidak boleh beri jaminan kerana apa berlaku di Sabah, kita buat SOP juga tetapi rakyat buat dan orang berkempen. Ia tidak dapat dikawal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here