Ketua jururawat maut akibat Covid-19 bukan sebab vaksin

0
194
Dr Sha’ari Ngadiman

CYBERJAYA – Kematian seorang ketua jururawat di negeri ini adalah disebabkan Covid-19 dan bukan daripada kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), semakan mendapati ketua jururawat yang meninggal dunia pada 14 Ogos lalu adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, mangsa telah ditawarkan untuk mengambil vaksin pada 17 Feb lalu tetapi menolaknya kerana bimbang kepada kesan sampingan vaksin tersebut.

Bagaimanapun, dia kemudian mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer pada 23 Julai lalu secara sukarela melalui MySejahtera.

Menurut Dr. Sha’ari, mangsa mengalami demam selama 12 hari selepas suntikan berkenaan namun tidak mendapatkan rawatan susulan.

“Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here