Ketua kartel dadah akan diekstradisi ke AS

0
87

BOGOTA – Colombia bercadang untuk mengekstradisi ketua kartel dadah Clan del Golfo ke Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat ini.

Portal al-Jazeera melaporkan, Dairo Antonio Usuga atau lebih dikenali sebagai Otoniel, merupakan ‘individu dikehendaki’ di AS berikutan beberapa tuduhan jenayah.

Pihak berkuasa Colombia akan memfailkan satu petisyen bagi permohonan ekstradisi itu hari ini, dan menurut Menteri Keadilan Colombia, Wilson Ruiz, ia akan mengambil masa selama empat minggu untuk diselesaikan.

“Ekstradisi sentiasa akan dilaksanakan bagi mana-mana pelaku jenayah antarabangsa,” kata Menteri Pertahanan, Diego Molano.

Otoniel dituduh mengeksport ratusan tan dadah jenis kokain ke AS setiap tahun, dan sudah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh Agensi Penguatkuasaaan Dadah (DEA) AS selama beberapa tahun.

Difahamkan, pihak AS turut menawarkan ganjaran sebanyak USD5 juta (RM20.75 juta) bagi penangkapannya.

Otoniel ditahan pada Sabtu lalu di wilayah Antioquia dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Operasi Osiris, yang dilaksanakan oleh 500 anggota pasukan khas Colombia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here