Ketua Pemuda UMNO Mersing meninggal dunia

0
70

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing Azmir Zainal Abidin meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas dimasukkan ke hospital itu akibat tekanan darah tinggi.

Allahyarham, 40, yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang semalam meninggalkan isteri dan dua anak perempuan.

Anak sulung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Endau dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Datuk Zainal Abidin Osman itu turut memegang beberapa jawatan lain termasuk Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B Malaysia dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Belia Mersing.

Berita kematian Azmir dikongsi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Mohd Hairi berkata, Azmir merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tugas.

“Allahyarham sangat komited dalam setiap arahan kerja yang diberikan dan sentiasa bertanya sekiranya kurang memahami perkara yang diarahkan.

“Perjuangan beliau tidak boleh dinafikan, ketika ramai yang lari daripada ‘medan perang’ beliau setia dan yakin pada parti keramat ini,” katanya.

Jenazah Azmir dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff dekat sini, pagi Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here