Kilang belacan, tauhu diarah tutup selepas dijumpai najis tikus

0
428
Keadaan kilang memproses tauhu yang kotor ketika pemeriksaan dilakukan semalam

BUTTERWORTH – Meloya dan memualkan. Dua kilang memproses produk belacan tradisional di Sungai Puyu dan tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini diarah tutup dua minggu selepas serbuan mendapati kedua-dua premis berkenaan berada dalam keadaan kotor.

Pegawai Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya bersama bahagian pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerbu kedua-dua premis itu hasil risikan dijalankan sejak sebulan lalu.

Katanya, dalam serbuan itu turut ditemui najis tikus dalam stor penyimpanan kedua-dua produk berkenaan.

“Perkara sama turut berlaku di kilang belasan yang mana kami dapati persekitarannya tidak bersih, peralatan memproses kotor termasuk pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai untuk mengendalikan produk.

“Dalam pada itu, pelabelan dan penggunaan logo halal pada produk belacan juga didapati meragukan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Keadaan kilang memproses belacan yang kotor ketika serbuan pihak berkuasa

Mohd Wazir berkata, pihaknya sebelum itu pernah menyerbu kilang tauhu terbabit dua bulan lalu bagi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pada serbuan pertama membabitkan kilang memproses produk tauhu, persekitarannya berada pada tahap kurang memuaskan dengan pengurusan mengabaikan penjagaan kebersihan dalam mengendalikan makanan yang dikeluarkan, selain ada pekerja yang tidak mendapatkan suntikan tifoid.

“Kilang tauhu ini beroperasi sejak 10 tahun lalu dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Bagaimanapun, kilang belacan itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak lima tahun lalu dengan berselindung di sebalik kilang memproses gaharu,” katanya.

Jelasnya, pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM12,000 dalam operasi berkenaan.

“Selain itu, kita turut menutup kedua-dua premis berkenaan selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here