KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin

0
39
Dr Noor Azmi.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih.

Menurut Bernama, cadangan itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Dr. Noor Azmi berpendapat, kumpulan itu perlu diberi penerangan yang sebetulnya berhubung vaksin Covid-19 kerana KKM tidak membuat sebarang keputusan secara semberono, malah berdasarkan kajian dalam dan luar negara.

“Jadi saya nak sarankan kalau ada kumpulan ini (antivaksin), kenapa tidak kita jumpa, kita boleh uruskan, saya boleh berbincang dengan Menteri Kesihatan. Kita bersemuka dan bercakap yang sebenar-benarnya.

“Jangan kita cakap sini sana dan menyebarkan berita palsu, kita bimbang juga. Nanti KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) akan ambil tindakan kerana penyebaran berita palsu pula,” kata Dr. Noor Azmi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung tindakan kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan kumpulan antivaksin yang menggunakan data COVIDNOW bagi mempengaruhi mereka yang belum divaksin.

Dr. Noor Azmi turut menambah, KKM sebelum ini sudah menyatakan bahawa vaksin Covid-19 bukanlah penyembuh tetapi bagi meningkatkan imuniti badan dan kajian juga menunjukkan terdapat kesan penurunan antibodi selepas enam bulan divaksin, lalu memerlukan individu berkenaan diberi dos penggalak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here