KKM laksana pelbagai SOP hadkan pergerakan golongan anti-vaksin

0
114
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Pelaksanaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam merupakan langkah Kementerian Kesihatan (KKM) mengekang golongan anti-vaksin bercampur gaul dengan mereka yang telah lengkap divaksinasi.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara SOP itu ialah memastikan setiap premis perniagaan dan kedai makan dine-in mensyaratkan pelanggannya mesti lengkap dua dos vaksin.

Walaupun kerajaan tidak mewajibkan setiap rakyat menerima vaksin, tetapi sebagai langkah menjaga keselamatan individu yang telah divaksinasi, maka SOP lengkap dua dos adalah syarat utama.

Ahli Parlimen Kanowit itu berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Berhubung jumlah anti-vaksin yang dikatakan mencecah sehingga 10 peratus dari populasi rakyat Malaysia, beliau berkata, mereka yang membangkitkan persoalan itu boleh membincangkannya.

Menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, beliau berkata, kematian enam kanak-kanak akibat Covid-19 pada 2020 dan 67 pada tahun ini disebabkan belum ada vaksin untuk mereka.

“Kerajaan setakat ini belum lagi memutuskan pemberian vaksin kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun kerana masih menunggu maklumat dari pakar luar negara dan daripada kajian yang dilakukan dalam negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here