KKMM lancar dua pakej telekomunikasi Keluarga Malaysia

0
73

CYBERJAYA – Mulai esok, rakyat Malaysia sudah boleh mula melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.

Kedua-dua pakej tersebut akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL kepada para pelajar dan Keluarga Malaysia untuk tempoh selama enam bulan sehingga 15 April 2022.

Annuar (tengah) ketika majlis pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia, hari ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, inisiatif oleh pihak Kerajaan ini adalah bagi membantu golongan remaja dan para pelajar memperoleh akses Internet dan mereka yang kurang berkemampuan, memiliki peranti pintar mampu milik.

“Ianya juga bukti komitmen Kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada Internet pada harga yang berpatutan,” kata Annuar lagi ketika majlis pelancaran pakej tersebut di Putrajaya, hari ini.

“Saya berharap melalui penyerahan pakej-pakej ini kepada para pelajar, remaja dan golongan kurang berkemampuan, ianya bukan sahaja dapat membantu mereka menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan juga memanfaatkan sebaik mungkin pakej-pakej berkenaan untuk meningkatkan produktiviti mereka,” kata Annuar lagi.

Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.

Dengan hanya RM10 sebulan, pelanggan akan mendapat penggunaan data sebanyak 20GB bagi tiga bulan, dan data harian sebanyak 1GB secara percuma bagi tujuan aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.

Bagi pakej ini, yuran langganan sebanyak RM30 perlu dibayar sekaligus meliputi perkhidmatan selama 3 bulan.

Sementara itu, Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih yang memiliki teknologi Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.

Peranti itu dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan langganan.

Pakej ini turut menyertakan data percuma sebanyak 1GB yang boleh digunakan untuk aktiviti produktiviti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here