Kumpulan penculik 400 Mawozo tuntut tebusan RM70.6 juta

0
1524
Insiden penculikan di Haiti meningkat lebih 3 kali ganda sejak tahun lalu menjadikan negara itu negara dengan kes penculikan tertinggi di dunia.

PORT-AU-PRINCE – Kumpulan 400 Mawozo yang dipercayai menjadi dalang penculikan 17 mubaligh Kristian warga Amerika Syarikat dan Kanada di Haiti menuntut wang tebusan berjumlah RM70.64 juta (USD17 juta).

Jumlah tersebut adalah bayaran RM4.16 juta (ASD1 juta) bagi setiap ahli kumpulan ‘Christian Aid Ministries’ termasuk lima kanak-kanak yang diculik selepas pulang daripada kunjungan sebuah rumah anak yatim di ibu kota negara ini, Sabtu lalu.

Identiti mangsa penculikan itu tidak didedahkan tetapi dikenalpasti terdiri daripada lima lelaki, tujuh wanita berusia antara 18 hingga 48 tahun manakala lima kanak-kanak berusia 3, 6, 13 dan 15 tahun.

Kumpulan 400 Mawozo merupakan antara kumpulan yang aktif melakukan penculikan dan dipercayai bertanggungjawab ke atas penculikan pada April lalu.

Dalam kejadian pada April itu, 10 orang termasuk dua orang ulama Katolik dari Perancis diculik dan ditahan selama 20 hari oleh kumpulan 400 Mawozo.

Haiti merupakan negara dengan rekod penculikan tertinggi di dunia.

Kejadian memuncak selepas kekalutan politik yang berlaku di negara itu dengan 600 kes penculikan berlaku pada tiga suku pertama tahun ini berbanding 231 kes tempoh yang sama tahun lalu.

Anggota pihak berkuasa Haiti mengawal lokasi kejadian penculikan pada April lalu.

Menteri Kehakiman Haiti, Liszt Quitel mengesahkan penculik berkenaan meminta wang tebusan sebelum jaminan pembebasan.

“Penculik meminta wang tebusan yang tinggi dan kebiasaannya akan mengurangkan jumlah ketika rundingan, namun pegawainya tidak terbabit dalam rundingan berkenaan,”katanya seperti laporan berita CBS News.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, AS berikrar untuk membebaskan mubaligh AS dan Kanada yang diculik.

Blinken berkata, Jabatan Negara turut berhubung dengan kerajaan Haiti berhubung penculikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here