Langgar SOP PRN Melaka, Parti Muda dikompaun RM4,000

0
181
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan sidang akhbar di Banda Hilir hari ini

MELAKA – Penganjur majlis sidang akhbar parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diadakan di kawasan pelacongan Stadthuys di Banda Hilir sini hari ini dikenakan tindakan kompaun RM4,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang melarang sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tindakan itu dikenakan selepas kumpulan berkenaan enggan bersurai selepas diminta berbuat demikian.

“Pasukan pemantau pematuhan tiba di lokasi pada pukul 12 tengah hari dan mendapati beberapa orang memakai baju MUDA dan salah seorang mengaku sebagai penganjur sidang akhbar yang akan dilakukan.

“Pasukan kita telah menasihatinya agar majlis berkenaan diberhentikan mengikut kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang melarang apa-apa program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mulai 25 Oktober sehingga 27 November depan,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun penganjur berkenaan yang berusia 20 tahun serta bekerja sebagai ejen insurans tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang media tersebut.

“Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudian sampai di lokasi pada pukul 1.30 petang dan telah memulakan sidang akhbar dengan kehadiran 40 orang yang menyentuh berkaitan PRN Melaka dan MUDA akan bertanding di PRN Melaka.

Katanya, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here