Lebih 3,000 notis kesalahan merokok dikeluarkan hingga 24 Oktober – KJ

0
46

CYBERJAYA – Sebanyak 3,419 notis kesalahan merokok di tempat makan telah dikeluarkan sejak Januari hingga 24 Oktober tahun ini.

Menurut Bernama, perkara itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini.

Kata Khairy, Terengganu merupakan antara lima negeri yang merekodkan pengeluaran notis tertinggi dengan 652 notis diikuti Pahang (601), Sarawak (365), Perak (356) dan Kuala Lumpur (303).

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempergiat aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan,” kata Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khairy Jamaludin lagi, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Untuk rekod, semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara.

Khairy menegaskan, larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok sebaliknya dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat itu kepada golongan perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling perokok.

Beliau kemudiannya berkata, pihaknya komited membantu golongan berkenaan untuk berhenti merokok dan pendaftaran bagi perkhidmatan berhenti merokok boleh dibuat melalui laman sesawang mQuit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here