Lelaki solat di tengah kesesakan lalu lintas didapati sakit jiwa, lari dari hospital

0
477
Tangkap layar video seorang lelaki berdiri dengan melakukan pergerakan solat di tengah kesesakan jalan raya di Jalan Ipoh semalam

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang lelaki yang videonya sedang berdiri dengan melakukan pergerakan solat di tengah kesesakan jalan raya di Jalan Ipoh di sini mengalami masalah psikiatri atau gangguan jiwa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), ACP Sarifudin Mohd Salleh, lelaki warganegara tempatan yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu didapati telah melarikan diri daripada hospital ketika menerima rawatan.

“Semakan terhadap latar belakang lelaki tersebut, merupakan seorang warganegara dan berusia dalam lingkungan 30 tahun, beliau sedang menerima rawatan pesakit psikiatri, Hospital Selayang, yang telah melarikan diri daripada wad.

“Pihak Hospital Selayang telah dihubungi dan menghantar ambulan ke lokasi kejadian dan membawa lelaki tersebut ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular video berdurasi 30 saat yang di muat turun di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki yang sedang berdiri melakukan pergerakan solat di tengah jalan.

Dalam pada itu, katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semalam lebih kurang 3.35 petang di Jalan Ipoh, berhampiran Shell Taman City menghala ke pusat bandar.

Katanya, anggota JSPT Kuala Lumpur yang bertugas membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan dengan kesesakan di Jalan Ipoh.

“Sampai ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.

“Anggota bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke Stesen Minyak Shell berhampiran untuk tujuan menenangkannya.

“Lelaki tersebut juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here