
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan logo atau rujukan agensi tersebut tanpa kebenaran atau berdepan tindakan undang-undang.
LHDN dalam kenyataannya, berkata ini termasuk penggunaan logo atau rujukan pada risalah, media sosial atau mana-mana bahan bercetak dan penerbitan kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.
“Sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Persekutuan, LHDN memandang serius terhadap penyalahgunaan logo atau rujukan berkenaan di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Secara amnya, penyalahgunaan logo atau rujukan kepada LHDN adalah satu kesalahan yang diperuntukkan bawah Bahagian 1, Jadual 1, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 [Akta 414],” katanya hari ini.
LHDN menegaskan, bahawa tiada sebarang penggunaan logo atau rujukan kepada LHDN boleh dilakukan tanpa kebenaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa terhadap pihak terbabit terhadap penyalahgunaan berkenaan.-MT