MDEC anjur Minggu Data dan AI 2021

0
13
Mahadhir Aziz

CYBERJAYA – Agensi peneraju ekonomi digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini akan menganjurkan ‘AI and Data Week 2021’ (AIDW 2021) bermula dari 25 hingga 29 Oktober ini.

Penganjuran acara maya selama seminggu ini memberi tumpuan kepada penggunaan Internet untuk Segalanya (IoT), Data dan Kecerdasan Buatan (AI) yang bertujuan memangkin perniagaan dan pembangunan ekosistem data di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, AIDW 2021 akan mengetengahkan bual bicara dan perbincangan oleh pakar data dan industri bagi memupuk ekosistem data dan AI yang sedang berkembang.

Beliau berkata, fokus utama adalah pada aspek pemikiran, integrasi dan adaptasi IoT, Data dan AI dalam kalangan perusahaan, pekerja profesional, pegawai kerajaan dan orang awam.

“AIDW 2021 berperanan sebagai salah satu platform utama untuk mempercepatkan ketersediaan, kebolehcapaian dan kegunaan data dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia.

“Menerusi kejayaan mengadaptasi data dan AI, kami boleh memacu ekonomi digital yang produktif, progresif dan inklusif selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahadhir berkata, MDEC dan kerajaan Malaysia sentiasa peka terhadap kepentingan data dalam mengembangkan ekonomi digital Malaysia.

“Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang ketara dalam adaptasi dipacu data dalam kalangan organisasi dan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, kajian MDEC yang ditugaskan kepada IDC mendapati pasaran data raya dan analisis Malaysia dijangka berkembang dari US$1.1 bilion (RM4.5 bilion) pada 2021 kepada US$1.9 bilion (RM7.89 bilion) pada 2025.

Selain itu katanya, laporan Kearney berkenaan masa depan AI di Asia Tenggara mendapati penggunaan dan pelaksanaan AI yang betul akan berupaya menambah sekitar US$115 bilion kepada KDNK Malaysia menjelang 2030.

Selain menganjurkan bual bicara dan perbincangan topik berkenaan IoT, Data dan AI, acara itu akan menampilkan perbincangan secara mendalam mengenai AI bersama firma perunding pengurusan global, Kearney.

Orang ramai yang berminat untuk menyertaiAIDW 2021 boleh melayari laman https://mdec.my/aidw

Maklumat lanjut mengenai DataKITA boleh diperolehi dari https://mdec.my/aidw

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here