Melaka: Mohd Ali jalani kuarantin, tiada kunjungan hormat sehingga Khamis ini

0
177
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam

MELAKA- Tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, boleh dilakukan oleh wakil parti politik hingga Khamis ini.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad menjelaskan ia berikutan Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri sejak 30 September lalu.

Nur Azmi berkata, Mohd Ali menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19, dan tempoh kuarantin kendiri itu akan berakhir pada hari berkenaan.

“Untuk kunjungan hormat, keputusan bergantung pada Tun (Mohd Ali) pada hari beliau masuk semula ke pejabat.

“Jika beliau masuk pejabat Jumaat ini, mungkin beliau akan bagi keputusan untuk berjumpa atau tidak hari itu. Semua bergantung kepada keputusan beliau,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Nur Azmi turut mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali daripada Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari semalam bagi membincangkan senario politik semasa di Melaka.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan mereka hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Perkembangan itu secara teknikal menyaksikan Kerajaan Melaka tumbang kerana hilang majoriti sokongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here