Mohamaddin Ketapi nafi dibeli parti politik lain

0
60
Mohamaddin Ketapi

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menafikan beliau dibeli oleh pemimpin parti politik lain.

Beliau sebaliknya berkata, tindakan itu adalah untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan dan memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasannya.

“Saya kurang percaya ada ‘beli-membeli’ kerana saya pun sendiri tidak dibeli. Saya sebenarnya mengisytiharkan keluar dari Warisan bukan kerana dibeli.

“Kalau saya terus menjadi wakil rakyat pembangkang, selama empat tahun lagi sebelum pilihan raya negeri akan datang, saya tidak dapat bawa apa-apa kemajuan di Segama khususnya.
“Jadi hari ini saya isytiharkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan negeri Sabah,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama ketika diminta mengulas jika wujud tawaran politik diterima daripada tindakannya itu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-WARISAN itu berkata, beliau sedia menyokong usaha Kerajaan Persekutuan sekiranya posisi beliau sebagai calon bebas mampu membantu rakyat dan negara.

“Di Dewan Rakyat, saya mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas sepenuhnya. Sekiranya satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat,” katanya.

Mohamaddin menjadi Ahli Parlimen kedua dari Warisan yang meninggalkan parti itu selepas ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here