Muhyiddin, isteri terima dos penggalak Covid-19

0
65
Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima dos penggalak Covid-19 hari ini

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Menurut satu hantaran menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), bekas Perdana Menteri itu menerima suntikan terbabit di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil.

“Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas diberi keutamaan untuk dos penggalak.

“Setakat ini, hanya vaksin Corminaty keluaran Pfizer diluluskan untuk dos penggalak,” menurut hantaran itu.

Bermula 22 Oktober lalu secara berfasa di seluruh negara, pemberian dos penggalak diperluaskan kepada warga emas yang telah terima dos lengkap vaksin Sinovac.

Kaedah pemberian vaksin campuran (mix and match) atau heterologus vaccination telah disahkan selamat dan berkesan.

Dos penggalak adalah bagi mereka yang mana dos kedua sudah mencukupi, tetapi dalam beberapa bulan, tindak balas imun mereka mula menurun.

Dengan 2 dos lengkap dan 1 dos penggalak, tempoh perlindungan dapat dipertingkatkan ke tahap optimum.

Warga emas yang layak akan mendapat tarikh temujanji menerusi aplikasi MySejahtera dan SMS.

Suntikan boleh diambil di klinik-klinik swasta atau PPV yang dikendalikan pengamal perubatan swasta yang telah dilantik KKM dan berdekatan tempat tinggal mengikut pendaftaran alamat di MySejahtera.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here