Negeri Sembilan, Putrajaya catat kebolehjangkitan tertinggi

0
191
Petugas sanitasi melakukan kerja-kerja nyah kuman bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

CYBERJAYA – Negeri Sembilan dan Putrajaya mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi dalam negara pada bacaan nilai R-naught 1.03.

Secara keseluruhan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di 10 negeri lain di Malaysia juga melebihi purata kebangsaan.

Peratusan diikuti dengan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Perlis, Sabah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Sementara itu, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Sarawak mencatatkan R-naught di bawah purata kebangsaan.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Sementara itu, angka kematian di dalam negara akibat Covid-19 masih kekal di bawah angka 100 kelmarin dengan 11 kes melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu di negara ini kini mencecah 28,062 atau 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,396,761 kes positif.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 676 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 61.7 peratus, namun dua negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Perak (73.5 peratus) dan Sarawak (83.9 peratus).

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan mencatat 330 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes Covid-19 di seluruh negara ialah 66.1 peratus dengan kesemua negeri merekodkan di bawah 80 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here