Padah minat kucing import

0
38
Gambar hiasan Scottish Fold

SEREMBAN – Seorang guru tadika akhirnya berputih mata apabila kerugian mencecah RM70,000 selepas ditipu dalam urusan pembelian seekor kucing baka Scottish Fold secara dalam talian.

Mangsa berusia 25 tahun diperdaya setelah melakukan pembelian haiwan peliharaan popular itu selepas melihat iklan penjualannya di Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa mendakwa telah menghubungi penjual kucing berkenaan di Indonesia dan bersetuju untuk membelinya dengan harga RM900.

“Mangsa kemudian mendakwa telah membuat pemindahan wang berjumlah RM450 ke akaun Hong Leong Bank yang diberikan penjual sebelum dimaklumkan kucing yang dibeli sudah dihantar ke alamatnya.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran demi bayaran yang didakwa sebagai prosedur penghantaran tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee Abd Ghani berkata, sepanjang urusan pembelian itu, mangsa telah melakukan 14 kali transaksi melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM69,030.

Katanya, sehingga kini mangsa masih tidak menerima kucing yang dibeli.

“Mangsa membuat laporan polis kerana rasa tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kucing baka Scottish Fold menjadi antara kucing paling digilai peminat kucing kerana keunikan rupanya yang comel dengan telinga yang kecil dan condong ke depan.

Haiwan peliharaan yang ‘dihasilkan’ secara kacukan pada 1960 itu turut dimilik oleh selebriti terkenal seperti Taylor Swift dan Ed Sheeran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here