Parlimen Singapura luluskan undang-undang sekat campur tangan asing dalam arena politik

0
19
K. Shanmugam

SINGAPURA – Parlimen Singapura meluluskan rang undang-undang bagi menghalang campur tangan pihak asing dalam arena politik tempatan, malam tadi.

Menurut AFP, penggubalan undang-undang itu dkritik hebat oleh pihak pembangkang dan kumpulan aktivis kerana dianggap sebagai alat bagi mengekang kebebasan bersuara.

Undang-undang itu antara lain memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengarahkan pihak perkhidmatan internet dan pengendali laman media sosial untuk menyerahkan identiti pemilik akaun, menyekat kandungan berbaur anti-kerajaan, dan membuang sebarang aplikasi yang digunakan untuk menyebarkan sentimen yang dianggap ‘berbahaya’.

Sementara itu, kumpulan dan individu yang bergiat dalam politik tempatan, dianggap sebagai ‘individu berkepentingan politik’, dan perlu mendedahkan sumber dana mereka termasuk sebarang dana asing.

Hukuman bagi sebarang pelanggaran terhadap rang undang-undang ini adalah penjara dan denda yang berat.

Pengkritik melabel undang-undang tersebut sebagai drakonian, dengan tujuan mengekang hak rakyat menyuarajan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan memerintah.

Bagaimanapun, dalam perbahasannya di Parlimen, Menteri Undang-undamg dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, Singapura terdedah kepada ‘kempen maklumat merbahaya’ yang dilaksanakan oleh pihak asing dan proksi mereka di dalam negara.

“Internet kini menjadi medan untuk menyebarkan (anasir) subversif.

“Banyak negara sedang membangunkan keupayaan serangan dan pertahanan (internet) sebagai satu senjata, yang lebih berkuasa daripada tentera darat, udara dan laut,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here