Pasukan petugas khas lakukan siasatan awal terhadap dakwaan Tommy Thomas-PM

0
140
TOMMY THOMAS

CYBERJAYA –  Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi melakukan siasatan awal berhubung dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan, pasukan petugas tersebut ditubuhkan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap segala dakwaan yang dibuat oleh Tommy Thomas.

“Pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan tersebut antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Selain itu katanya, Kabinet juga akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

“Pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

“Usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

“Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here