PDRM siasat video tular didakwa hina agama dan kaum

0
295

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap satu klip video tular didakwa mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum.

Menurut laporan Bernama, video berdurasi satu minit yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas itu menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya telah memulakan siasatan.

“Justeru siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadi.

Abdul Jalil turut berkata, siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan dan pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here