Peja nafi ambil remeh pendedahan dibuat Pandelela

0
55
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu

CYBERJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu menafikan mengambil remeh pendedahan yang dibuat oleh ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang pernah dibuli oleh seorang jurulatih kerana menegur sikapnya yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Beliau berkata, laporan berita sebelum ini yang menyebut beliau mempersoalkan perkara itu adalah tidak tepat.

Sebaliknya, Ahmad Faizal berkata, beliau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak sama sekali mempersoalkan apa yang diadukan oleh Pandelela, apa yang saya katakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut apa yang berlaku,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja dikritik hebat selepas dilaporkan mempersoalkan mengapa ratu terjun negara itu mengeluarkan kenyataan demikian setelah bertahun insiden itu berlalu.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menyeru kepada semua atlet untuk bersuara dan mengadu jika ada salah laku jurulatih dan juga sesama atlet.

Baru-baru ini pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu turut meluahkan perasaan sedih kerana dalam masa tujuh tahun itu, jurulatih berkenaan sentiasa membuat hal.

Malah, Pandelela berkata, jurulatih berkenaan juga mendapat ‘back up’ besar daripada ketua jurulatih.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here