Pekerja Astro maut dilanggar ketika berbasikal

0
698
Keadaan basikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di di Kilometer 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong menghala ke Cyberjaya pagi tadi.

CYBERJAYA – Seorang petugas di stesen televisyen, maut selepas terbabit kemalangan ketika berbasikal di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Jeffry Aziz, 57, dari Taman Puncak Jalil maut selepas dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta.

Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong menghala ke Cyberjaya, pada jam 8.15 pagi.

Katanya, mangsa yang juga pekerja Astro Production Sdn Bhd (APSB) meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pereka di syarikat industri dari Bandar Baru Bangi, tidak cedera,” katanya.

Insiden itu tular di laman sosial termasuk di Facebook Cyberjaya Community sejak pagi tadi.

Wan Kamarul berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita yang datang dari susur keluar Putrajaya/Bangi dipercayai melanggar bahagian belakang mangsa yang datang dari arah Puchong.

“Ketika kejadian, mangsa berbasikal di lorong tiga dan akibat pelanggaran, mangsa tercampak di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang bagi bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here