Pemulihan sektor ekonomi jadi tumpuan utama Belanjawan 2022

0
13


Tan Sri Noh Omar

PUTRAJAYA – Pemulihan sektor ekonomi akan menjadi tumpuan utama Belanjawan 2022 selepas  aspek kesihatan akibat Covid-19 kini berapa pada tahap lebih baik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, sektor ekonomi sangat wajar diberikan tumpuan dalam Belanjawan 2022.

“Masalah kesihatan akibat Covid-19 yang membelenggu negara sejak tahun lalu kini nampaknya sudah di atasi dengan pelbagai aktiviti dibenarkan seperti rentas negeri.

“Jadi saya berpandangan pada Belanjawan 2022, kerajaan wajar memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu Noh menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor di sini pada Isnin.

Menurut Noh, beliau bersama wakil kementeriannya telah sertai sesi libat urus bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Noh berkata, MEDAC telah memohon peruntukan RM1 bilion dalam belanjawan tersebut namun, berapa jumlah yang akan diluluskan belum dapat dipastikan lagi.

Dalam pada itu, Noh juga berharap dengan peruntukan RM1 bilion itu dapat membantu 197,000 usahawan mikro memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pendemik Covid-19 sebelum ini.

“Kita nak bantu (usahawan mikro) dalam tempoh sebulan ini, kita ada 197,000 yang kita nak bantu mengikut pecahan dan agensi-agensi di bawah kementerian saya.

“Tekun berapa ramai… SME Corp berapa ramai…. Bank Rakyat berapa banyak, ada 197,000 usahawan, itu KPI (petunjuk prestasi utama) saya.

“Bermakna dalam tempoh 100 hari ini, saya kena capai KPI saya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Belanjawan 2022 akan memberi fokus kepada rakyat berikutan masih ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, MEDAC telah memohon peruntukan RM97 juta bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membangunkan usahawan tempatan agar lebih berdaya saing.

“Kita di MEDAC telah membuay permohonan. Tetapi belum ada keputusan berapa yang diluluskan. Kita harap Kementerian Kewangan berpandangan jauh untuk membantu usahawan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here