Pengedar dadah cuba larikan diri dengan ‘King’ diberkas polis

0
1401
Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk menahan suspek yang bertindak ganas dan agresif

KOTA KINABALU – Tindakan nekad dan agresif seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan merempuh halangan di hadapan sebuah premis kedai di Manggatal di sini gagal apabila diberkas oleh polis.

Dalam kejadian itu polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek yang yang juga merupakan seorang lelaki warga asing berusia 20-an.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, tangkapan itu dibuat ketika ‘Ops Tapis’ dijalankan selepas disyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.

“Suspek turut cuba melanggar anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan, namun sempat dielak pasukan operasi.

“Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan bagi mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

George berkata, suspek sebelum itu sempat melarikan diri, bagaimanapun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum akhirnya berjaya ditahan polis.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua paket plastik lut sinar setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar keseluruhan rampasan dadah ialah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here