Pengeluar arak Timah mohon seminggu tukar nama lain

0
821
Arak jenama Timah

CYBERJAYA – Pengeluar arak tempatan kontroversi jenama Timah meminta tempoh sehingga minggu depan bagi menukar nama dan imej pada label produk arak berkenaan yang dilihat menggunakan nama Melayu dan Islam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan syarikat pengeluar arak terbabit, Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.

“Perkara ini adalah antara hasil keputusan yang dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama kerajaan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Alexander berkata, pihaknya mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah yang dibincangkan di media elektronik dan sosial sejak dilancarkan awal Oktober lalu.

“Saya mempengerusikan mesyuarat ini yang turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Selain itu, mesyuarat secara hibrid ini turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Abdul Wahid Abu Salim, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Abdul Haris Lakar, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.

Menurutnya, pertemuan itu diadakan dalam suasana harmoni dan menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

“Pertemuan ini juga adalah susulan pertemuan pertama yang diadakan antara syarikat Winepak bersama MyIPO pada 25 Oktober lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here