Pengguna ada alternatif lain bayar bil Astro jika mahu elakkan caj Pos Malaysia

0
47
ANNUAR MUSA

CYBERJAYA – Pengguna mempunyai alternatif lain untuk membuat pembayaran bil Astro mereka jika ingin mengelakkan caj 50 sen dikenakan Pos Malaysia.

Antaranya, menerusi kaedah auto debit yang memerlukan pelanggan mendaftar di portal layan diri atau di pusat perkhidmatan pelanggan Astro.

Selain itu terdapat juga alternatif pembayaran bil termasuk di Astro Quick Pay, saluran Astro 200, aplikasi My Astro serta platform JomPAY.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, caj dikenakan bagi pembayaran bil di kaunter itu merupakan persetujuan secara komersial (commercial arrangement) antara dua syarikat berkenaan.

“Sejak Januari tahun ini, caj perkhidmatan 50 sen untuk Astro telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran bil, cuma Pos Malaysia Berhad sahaja yang baharu mengenakan caj sama bagi bayaran bil Astro di kaunter bermula 1 Sept 2021,” kata Annuar pada sesi Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri di Parlimen, hari ini.

Annuar berkata demikian bagi menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu mengapa caj 50 sen dikenakan sebagai caj kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di pejabat pos.

Beliau berkata Pos Malaysia yang telah dikorporatkan pada 1992 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001 kini adalah anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM Berhad.

Katanya selain menyediakan perkhidmatan pos asas, Pos Malaysia telah mengembangkan aktiviti perniagaannya dan kini merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan e-Dagang bersepadu yang terulung di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here