Penjawat awam tolak vaksin dikenakan tindakan bermula esok

0
652

Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan bermula esok.

Menurut laporan Sinar Harian, perkara itu dimaklumkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu.

Menerusi pekeliling itu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Menurut pekeliling itu, langkah tersebut diambil memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.

Pekeliling berkenaan turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Sebelum itu, JPA dalam kenyataannya pada 30 September lalu telah menetapkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November 2021.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

JPA turut memaklumkan seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan setakat 30 Oktober lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here