Penjenamaan arak guna bahasa Melayu satu strategi provokatif

0
38
Tindakan menjenamakan arak menggunakan perkataan bahasa Melayu merupakan satu tindakan provokatif terhadap masyarakat Muslim.

CYBERJAYA – Penggunaan jenama arak dengan perkataan berbahasa Melayu merupakan satu strategi yang bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sangat tidak bersetuju dengan tindakan provokatif sedemikian.

“Tindakan-tindakan ini amat tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di Malaysia dan memberikan imej yang buruk kepada pihak kerajaan.

“Tindakan yang berterusan memprovokasi sentimen umat Islam harus segera dihentikan kerana ini pastinya menggugat keharmonian umat Islam yang menjadi teras kestabilan negara ini,” kata YADIM.

Baru-baru ini, tular di media sosial bahawa arak berjenama Timah berjaya menerima anugerah antarabangsa sejak tahun 2020.

“Penggunaan jenama arak dengan perkataan berbahasa Melayu seperti Timah itu sendiri merupakan satu strategi penjenamaan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia.

“Polemik yang timbul ini seolah mengulangi kembali kontroversi terhadap penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu Muslim seperti produk makanan yang berasaskan babi seperti Burger P. Ramly dan Restoran Naughty Nuri yang hangat sekitar tahun 2016,” kata kenyataan itu lagi.

YADIM turut menyatakan sokongan terhadap tindakan yang diambil oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah melaporkan kepada Kementerian-kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Selain itu, YADIM sebagai sebuah yayasan milik kerajaan akan menggunakan saluran yang ada bagi menyatakan pendirian kepada pihak kerajaan yang perlu mengambil langkah yang lebih proaktif terhadap industri yang telah lama bertapak di Malaysia ini.

“Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM akan menggunakan pendekatan memberi kesedaran terhadap isu ini selain akan menggerakkan rakan-rakan NGO bagi menyatakan penolakan terhadap arak yang telah dianggap sebagai najis di dalam Islam selain dianggap sebagai sumber kemudaratan masyarakat secara umumnya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here