Penjenayah alam sekitar berdepan denda maksimum RM10 juta

0
23
TUAN_IBRAHIM_TUAN_MAN2_11032020
Tuan Ibrahim Tuan Man

CYBERJAYA – Hukuman bagi jenayah pencemaran alam sekitar akan dipinda dengan cadangan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan maksimum tidak melebihi RM10 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) itu dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, selepas mengambil kira keperluan semasa dan kepentingan isu alam sekitar, kementerian sudah mengkaji dan mencadangkan pindaan AKAS 1974 untuk dipertimbangkan di Parlimen.

“Insya-Allah, pindaan ini akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Pada April lalu, media melaporkan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan meminda AKAS 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak industri yang gagal melaksanakan pengurusan bahan buangan mengikut peraturan ditetapkan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pindaan akta itu penting sebagai pengajaran kepada individu atau syarikat yang gagal menguruskan sisa industri secara berhemah sehingga menjejaskan alam sekitar.

Tuan Ibrahim berkata, intipati cadangan pindaan fasa 1 ini membabitkan cadangan menaikkan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan.

Katanya, cadangan itu juga mengenakan hukuman mandatori penjara tidak lebih lima tahun terutama membabitkan kesalahan pencemaran air dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Ketika ini, pihak disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 34B akta berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here