Permudahkan pembiayaan perniagaan, ketepikan CRIS dan CTOS- Noh Omar

0
19
Tan Sri Noh Omar

PUTRAJAYA – Sila permudahkan segala urusan dalam soal pembiayaan perniagaan, itu peringatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar.

Peringatan itu diberikan kepada semua agensi kerajaan di bawah MEDAC yang menguruskan pembiayaan perniagaan kepada syarikat dan usahawan di negara ini.

Noh berkata, dana yang diperuntukkan kepada semua agensi MEDAC termasuk bank-bank adalah dana kerajaan sebagai pemudahcara membantu usahawan.

“Kalau ada sesiapa lagi di luar sana (tidak ikut arahan) termasuk Bank Rakyat, SME Bank di bawah kementerian saya, ini kena faham, ini duit kerajaan bagi bukan duit bank.

“Duit ini kita letak ke bank, bank yang tolong melaksanakan duit yang kerajaan umumkan RM2 bilion. Ini duit kerajaan bagi membantu usahawan, duit ini jangan samakan dengan duit bank.

“Duit bank tak apa la saya tak mahu kacau, itu duit pendeposit. Ini duit kerajaan, permudahkan, jangan red tape sangat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pertukaran MoU pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Noh berkata, segala arahan yang dikeluarkan mesti disampaikan kepada pegawai-pegawai di semua peringkat agar tidak menyusahkan para pemohon.

“Saya nak tekan mesti ikut arahan, mungkin ada pegawai-pegawai di bawah, saya dapat aduan Bank Rakyat di Negeri Sembilan, pegawai dia tak berani nak buat sebab belum ada arahan-arahan rasmi.

“Dalam mesyuarat Kabinet lepas, saya telah beri arahan semua agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan ini supaya ketepikan CRIS, ketepikan CTOS,” katanya.

Susulan arahan itu, Noh mendedahkan salah satu agensi di bawah MEDAC yang telah melaksanakan kelonggaran itu ialah Tekun Nasional.

“Saya telah mendapat pengesahan, macam Tekun, dalam laman web Tekun, dia dah padam, tak perlu CTOS. Bank Rakyat pun saya dah maklum kepada CEO maklumkan supaya tak perlu (syarat) di bawah cawangan-cawangan Bank Rakyat termasuk SME Bank,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here