PICK Remaja lepasi sasaran awal

0
23
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Jumlah remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sudah melepasi sasaran awal apabila seramai 1,967,549 remaja sudahpun menerima suntikan dos pertama mereka setakat semalam.

Kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dalam ciapannya hari ini, jumlah itu bersamaan 62.5 peratus jumlah golongan itu di dalam negara.

“Jumlah penerima dos pertama itu termasuklah 343,231 (90.9 peratus) remaja berusia 16 tahun dan 344,933 (92.8 peratus) remaja berusia 17 tahun yang bersekolah,” kata Dr. Noor Azmi dalam ciapannya itu.

“Berdasarkan perkembangan semasa, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu 60 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 menjelang bulan November 2021,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menjelaskan, sasaran itu berjaya dicapai lebih awal daripada jangka masa yang disasarkan hasil kerjasama dan bantuan daripada semua pihak khususnya para remaja, ibu bapa dan penjaga.

“Lebih manis lagi, sasaran ini tercapai hanya dalam tempoh 14 hari semenjak PICK Remaja dilancarkan pada 20 Sept 2021. Pencapaian ini sememangnya merupakan suatu perkembangan yang amat baik dalam usaha bersama kita mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Dr. Noor Azmi juga mengucapkan tahniah kepada kementeriannya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bahagian Pendidikan Majlis Amanah Rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here