Pihak tokong mohon maaf, 18 lagi suspek ditahan polis

0
2096
Polis mengawal keadaan susulan kekecohan di hadapan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, di sini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sebanyak 18 lagi individu susulan kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mereka yang ditahan ialah 12 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 84 tahun iaitu semua yang terbabit dalam rusuhan itu.

Pada masa sama, katanya, pihak tokong juga sudah menyerah diri serta mengemukakan surat permohonan maaf kepada polis.

“Kumpulan ini terdiri lebih kurang 20 hingga 30 individu lelaki dan wanita yang berusia 18 hingga 84 tahun.

“Mereka bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak menggunakan kayu serta menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, polis kemudian meleraikan rusuhan itu pada jam 2.30 petang dan menahan empat lelaki yang berusia 18 hingga 50 tahun di mana suspek direman dua hari bermula Rabu lalu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Kemudian pada jam 8.30 malam Rabu lalu, polis menahan dua lagi lelaki berusia 38 dan 56 tahun sebelum mengepung kawasan tokong itu untuk membuat tangkapan jam 1.30 pagi semalam.

“Namun pihak tokong menyerah diri serta menyerahkan surat permohonan maaf kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis membebaskan dua suspek dengan jaminan polis atas faktor usia.

Katanya, permohonan reman ke atas 18 suspek lagi dibuat semalam di mana 10 suspek direman sehari bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan yang lengkap sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pertambahan pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 turut dicadangkan memandangkan kesemua suspek melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan iaitu berkumpul beramai-ramai di tempat awam.

Menyentuh mengenai kekecohan itu, katanya, ia berlaku jam 11.45 pagi Selasa lalu itu selepas pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) ingin membina pagar penghadang ‘Hoarding’ untuk membina jalan sebagai laluan ke sekolah.

Menurutnya, pada jam 2.14 petang, pihak polis mendapati kejadian rusuhan bermula apabila wakil pihak tokong itu tidak berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan PTG.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here