Pintu masuk pelancong luar ke dalam negara dibuka Dis ini – Menteri

0
9
Nancy Shukri

CYBERJAYA – Gerbang pelancongan negara akan dibuka kepada pelancong luar negara bermula Disember tahun ini dengan penelitian mengenainya diambil kira daripada Projek Rintis Pulau Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, negara sudah bersiap sedia dari segi penetapan prosedur operasi standard (SOP) dan berharap pintu masuk negara dapat dibuka secepat mungkin.

“Ketika ini kementerian akan memantau terlebih dahulu kemasukan pelancong asing melalui Projek Rintis Pulau Langkawi yang akan bermula 15 November ini.

“Kita letak tempoh tiga bulan tapi saya rasa tidaklah sampai tiga bulan. Jadi, saya rasa kita boleh buka (untuk pelancong antarabangsa) lebih awal dari itu.

“Jadi kita doakan agar ia dapat dilakukan dalam masa terdekat selepas 16 November ini dan mungkin awal Disember. Itu bukan janji saya tapi kita akan cuba,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Karupaiya MutusamI (PH-Padang Serai) yang mahu tahu garis masa pembukaan sektor pelancongan di seluruh negara kepada pelancong asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November dengan pematuhan SOP.

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu antaranya pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here