PM ucap takziah kepada keluarga Mohd Diya

0
44

Gambar: Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia selepas lemas ketika membantu mangsa banjir di Melaka.

Ismail Sabri menerusi hantaran melalui Facebooknya juga mengucapkan takziah kepada seluruh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka di atas pemergian Mohd Diya.

“Didoakan semoga tabah menghadapi dugaan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Perdana Menteri.

Allahyarham Mohd Diya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi ini.

Mohd Diya lemas selepas rebah ke dalam air banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh petang semalam dan disahkan meninggal dunia awal pagi ini di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk membawa mangsa ke tempat selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here