PRN berjangkit ke Sarawak, DUN dijangka dibubarkan Jumaat ini?

0
213
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

CYBERJAYA – Selepas Melaka, Pilihan Raya Negeri (PRN) nampaknya akan ‘berjangkit’ ke Sarawak dan pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diumumkan pada Jumaat ini.

Memetik laporan Astro Awani, khabar angin PRN Sarawak bertiup kencang apabila Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka membubarkan DUN pada Jumaat ini.

Difahamkan Abang Johari dijangka membuat pengumuman tersebut di Kuching dalam satu sidang media khas.

Menurut sumber yang rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekretariat pilihan raya GPS sudah meminta calon untuk mengemukakan maklumat terkini kepada ibu pejabat parti.

Manakala satu sumber yang lain memberitahu, Abang Johari telah menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk limpah perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.

Pengumuman tersebut dikatakan akan berlaku sebelum lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke bandar raya ini pada Sabtu, sekali gus melancarkan program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa, dengan Abang Johari hanya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pelepasan Proklamasi Darurat.

Difahamkan, jika pembubaran dilakukan pada Jumaat ini, PRN dijangka diadakan pada penghujung bulan November, bagi mengelak musim tengkujuh pada Disember.

Pada Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November depan sebagai tarikh PRN Melaka selepas DUN Melaka dibubarkan.

Untuk rekod, DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu namun, proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here